Wednesday, July 4, 2012

Puasa untuk ibu mengandung dan menyusu

Dalam Islam, mengikut mazhab Imam Syafie, ibu yang mengandung atau ibu yang menyusu boleh berbuka puasa. Terdapat 2 hukum iaitu berbuka kerana bimbang kesihatan dirinya akan terjejas atau berbuka kerana bimbang kesihatan anaknya.
Sekiranya ibu itu berbuka puasa kerana takut berlaku kemudharatan pada dirinya disebabkan puasanya itu, maka wajib bagi ibu itu untuk qodo' puasanya sahaja sebelum tibanya Bulan Ramadhan yang akan datang. Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh At Turmuzi (715) dan Abu Daud (2408) dan selainnya, dari Anas Al Ka'bi radiallahu anhu, telah berkata Rasulullah S.A.W : sesungguhnya Allah S.W.T telah mengangkat puasa orang yang bermusafir (dibolehkan berbuka) dan telah mengurangkan solatnya (boleh diqosorkan solatnya itu), dan diangkat puasa(boleh berbuka) orang yang hamil dan menyusukan anaknya.

Maksud mengurangkan solat ialah memberi kelonggaran mengurangkan rokaat solat dan adapun yang dimaksudkan dengan diangkat puasa bagi ibu yang hamil dan menyusukan anaknya itu ialah dibenarkan berbuka dengan menggantikan puasanya itu.
Sekiranya ibu itu berbuka kerana bimbang kesihatan anaknya dan takut kandungannya gugur jika dia berpuasa, ataupun takut susunya akan berkurangan dan membahayakan anaknya, maka wajib bagi ibu itu untuk berbuka dan qodho' puasanya itu dan dikenakan fidyah iaitu bersedekah satu cupak dari makanan asasi bagi hari yang dia berbuka.

No comments: